Posted by: krazeytown | Januari 14, 2009

S.M.K Tun Fuad Stephen Kiulu History

Sejarah SMKTFS bermula sekitar bulan Februari 1968. Pada masa itu ia masih dikenali dengan nama Government Junior Secondary School (GJSS), Kiulu. Apabila kita ingin mengetahui sejarah bagaimana wujudnya SMKTFS, kita tidak dapat lepas dari nama seorang Pegawai Pendidikan pada waktu itu yang sangat berjasa menubuhkan sekolah ini. Pegawai tersebut adalah Encik Aslie Lullah yang memegang jawatan sebagai Penyelia Kanan Sekolah-sekolah di Pejabat Pendidikan, Kota Kinabalu sejak tahun 1965. Sebelum SMKTFS didirikan cuma ada beberapa buah sekolah rendah yang telah wujud, di Kampung Tombongon, Malangang, Mantob dan Kampung Pukak. Ironinya setelah murid-murid dari sekolah rendah ini menamatkan persekolahan, ramai antara mereka tidak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Hal ini disebabkan sebahagian daripada pelajar tersebut datang dari keluarga petani miskin. Pada waktu itu sekolah menengah yang paling dekat adalah di Pekan Tamparuli dan Pekan Tuaran. Sekiranya mereka ingin melanjutkan pelajaran menengah di sana, bererti mereka terpaksa tinggal di Pekan Tamparuli atau Pekan Tuaran. Ini sudah tentu memerlukan belanja yang besar. Jalan perhubungan antara Pekan Kiulu dengan kedua-dua pekan yang disebutkan adalah agak sulit. Pada waktu itu, jalan yang ada cuma jalan tanah merah bercampur kerikil. Pengangkutan awam yang ada cuma beberapa buah ‘ Land Cruiser ‘.

Menyedari masalah ini, ramai murid yang terkandas di pertengahan jalan. Cadangan menubuhkan sebuah sekolah menengah di kawasan Kiulu telah disuarakan kepada Pengarah Pendidikan Sabah ketika itu, Mr. George Douglas Muir. Sebelum itu usaha telah dilakukan untuk mendirikan lebih banyak sekolah rendah di kampung Wassai, Sinulihan, Lokos dan Tudan. Di samping itu, usaha telah dilakukan untuk mencari tapak yang sesuai untuk menempatkan bangunan sekolah menengah. Disebabkan kesulitan mencari tapak yang sesuai dan ditambah pula tidak ada peruntukan untuk mendirikan sekolah menengah, maka buat permulaan terpaksalah menumpang di bangunan sekolah rendah yang ada di Pekan Kiulu, yang dikenali dengan nama Government Primary School (GPS), Kiulu. Sekolah rendah ini sudah wujud sejak tahun 1952 lagi berkat usaha dan jasa Ketua Anak Negeri Kiulu waktu itu, mendiang OKK Rampas dan masyarakat setempat. Manakala tapak atau tanah yang digunakan untuk mendirikan sekolah itu milik Ketua Kampung Saguman Bin Anggut yang merelakan tanahnya dijadikan tapak sekolah dengan ganti rugi yang kecil. Oleh kerana pada waktu pagi, sekolah itu digunakan oleh pelajar GPS Kiulu, maka terpaksalah pelajar sekolah menengah menggunakannya pada waktu petang.

Pengetua pertama GJSS, Kiulu ialah Cikgu Awang Mohdzar dibantu oleh seorang anggota American Peace Corp. iaitu Mr. Veron Skinner. Pada tahun pertama persekolahan, cuma ada dua buah kelas iaitu dua kelas Bridge One. Sebagai permulaan, Jabatan Pendidikan hanya menyediakan kapur tulis, kertas dan alat pencetak jenis lama kepada sekolah ini, namun kemudahan buku belum ada. Ini bererti murid-murid terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkan sumber rujukan. Jumlah murid pada ketika itu ialah 65 orang termasuk 26 orang murid perempuan.

Dengan berdirinya sekolah baru ini, timbul pula masalah tempat tinggal yang dihadapi oleh murid-murid yang datang dari jauh seperti Kampung Sinulihan, Wassai dan Tudan. Pada waktu itu tidak ada kemudahan asrama yang disediakan oleh pihak sekolah. Untuk mengatasi masalah ini, maka guru-guru dengan kerjasama masyarakat setempat telah bersatu tenaga untuk membina beberapa buah pondok yang dapat digunakan oleh murid-murid tersebut sebagai tempat tinggal sementara. Bagi murid lelaki, sebuah pondok telah dibina di tapak Dispensary Kiulu yang ada sekarang. Apa yang menarik, pondok itu dikenali dengan gelaran ‘Istana Hinggap’. Istilah ‘istana’ ini merupakan suatu sindiran kepada keadaan pondok itu yang serba kekurangan. Istilah ini juga digunakan terhadap pondok-pondok  yang menempatkan murid-murid yang bersekolah di SMK Tamparuli pada tahun 1970-an. Bagi murid perempuan pula, telah dibina dua buah pondok yang terletak di tapak TADIKA Kampung Lopot sekarang dan sebuah lagi di Kampung Bayag. Bagi murid-murid yang tidak mendapat tempat di pondok tersebut, terpaksalah menumpang d rumah penduduk sekitar Pekan Kiulu. Dengan adanya kemudahan ini, sedikit sebanyak telah dapat menyelesaikan masalah tempat penginapan murid-murid.

Setelah menduduki peperiksaan akhir tahun 1968, cuma ada sekitar 40% yang telah lulus dan berjaya naik ke ‘ Form One’. Sedangkan yang gagal ditempatkan di kelas ‘bridge Two’. Pada tahun 1969, jumlah kelas telah bertambah dengan kemasukan murid-murid baru ke ‘Bridge One’. Ini memaksa lebih ramai guru yang harus ditempatkan di GJSS, Kiulu. Jabatan Pendidikan telah menghantar beberapa orang guru untuk berkhidmat di sana, iaitu Cikgu Abd. Rahman, Cikgu Vaserkaran, Cikgu Arjan Singh dan Cikgu Segeran. Dengan kedatangan guru-guru tersebut, masalah kekurangan guru telah dapat diselesaikan. Pada bulan Disember tahun itu, Mr. Veron Skinner yang telah banyak berjasa kepada sekolah ini telah berpindah ke SMK Tamparuli.

Dengan bertambahnya jumlah murid dan guru di GJSS, Kiulu, ini bererti sebarang aktiviti yang dirancangkan dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Pada tahun 1970, sukan GJSS, Kiulu untuk pertama kali telah diadakan. Sukan ini telah dapat dijalankan dengan jayanya hasil kerjasama guru-guru, ibubapa dan murid-murid. Acara sukan ini telah dapat melahirkan ramai atlit yang disegani di peringkat daerah Tuaran. Pada tahun 1969, pasukan bolasepak wanita GJSS, Kiulu telah dibentuk.

Pada bulan Disember 1971, Cikgu Awang Mohdzar yang telah berkhidmat di GJSS, Kiulu sejak tahun 1968 telah menamatkan perkhidmatannya dan berpindah ke SMK Membakut untuk memegang jawatan sebagai pengetua. Kekosongan jawatan pengetua di GJSS, Kiulu telah diisi oleh Cikgu Jaidun Julang hingga bulan Disember 1972. Nama GJSS, Kiulu yang digunakan oleh sekolah itu sejak penubuhannya telah ditukar menjadi SMK Kiulu pada tahun 1972. Serentak dengan itu, bahasa pengantarnya juga diubah dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Sepeninggalan Cikgu Jaidun pada bulan Disember 1972, jawatan pengetua telah diambil alih oleh Cikgu Abdul Rahman bin Abdul Samad. Jawatan tersebut dipegang oleh beliau dari bulan Januari 1973 hingga tahun 1981.

Semenjak tahun1972, SMK Kiulu telah mengalami perkembangan yang pesat dengan bertambahnya jumlah murid. Guru-guru juga semakin ramai yang dihantar ke SMK Kiulu. Ini menyebabkan bangunan sekolah rendah sudah tidak mampu lagi untuk menampung pertambahan tersebut. Ini bererti sudah sampai masanya SMK Kiulu harus memiliki bangunannya sendiri. Dalam Rancangan Malaysia III dan IV, kerajaan pusat telah menumpukan perhatian terhadap pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar di seluruh negara. Dalam jangka masa 4 tahun, di Sabah telah wujud 128 buah sekolah rendah, 28 buah sekolah menengah dan 3 buah sekolah Vokasional. Daerah Kiulu tidak terkecuali kerana pada masa itulah bangunan baru SMK Kiulu dimulakan pembinaannya. Kos pembinaan bangunan sekolah itu telah dibiayai oleh Bank Dunia. Tapak pembinaan bangunan tersebut bersebelahan dengan GPS, Kiulu, iaitu di bekas tapak sawah padi milik Encik Payar Juman.

Pembinaan bangunan baru SMK kiulu telah selesai pada awal tahun 1979, yang mengandungi empat blok bangunan. Blok bangunan pertama menempatkan pejabat am, bilik pengetua, bilik guru, kantin dan perpustakaan. Blok bangunan kedua menempatkan bilik darjah, makmal sains dan bilik ERT. Blok bangunan ketiga menempatkan bengkel seni perusahaan. Blok bangunan keempat untuk dewan serbaguna dan satu blok bangunan asrama yang dapat menampung 90 orang pelajar lelaki dan 60 orang pelajar perempuan. Untuk guru-guru, sebuah bangunan flat empat tingkat yang mengandungi lapan unit rumah dan tiga buah banglo untuk kelas A dan B telah dibina. Bangunan baru itu mula ditempati pada awal tahun 1979.

Sebelum memiliki bangunan baru, SMK Kiulu hanya menyediakan kelas  sehingga tingkatan
tiga sahaja kerana kekurangan kelas. Ini bererti murid-murid yang telah lulus peperiksaan SRP
terpaksa berpindah ke sekolah lain seperti SMK Tamparuli, St. John dan SMK Badin sekiranya
ingin melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat. Ini mendatangkan masalah besar kepada murid-
murid yang datang dari keluarga miskin.Setelah memiliki bangunan baru maka SMK Kiulu sudah mampu untuk mewujudkan kelas tingkatan empat dan lima. Dalam hal ini, masyarakat setempat
melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) telah mengambil langkah positif, apabila ahli
PIBG  Kampung Ranap telah menulis surat kepada Pengetua SMK Kiulu (Cikgu Abdul Rahman)
supaya mengajukan permohonan kepada Pengarah Pendidikan agar diwujudkan kelas tingkatan
empat dan lima di SMK Kiulu. Pihak sekolah tidak berdiam diri dalam hal ini. Surat rasmi pihak
sekolah kepada Pengarah Pendidikan yang bertarikh 13 September 1979 telah memohon agar
diwujudkan kelas tingkatan empat di SMK Kiulu bermula tahun 1980 dan seterusnya kelas ting-
katan lima pada tahun 1981. Alasan yang diberikan adalah jumlah murid tingkatan tiga pada tahun
1979 terlalu ramai. Pada tahun 1978, 80 orang pelajar SMK Kiulu telah lulus dalam peperiksaan
SRP. Mereka terpaksa melanjutkan pelajaran di sekolah lain.
Ternyata permohonan itu telah dipersetujui, dan bermula pada tahun 1980 kelas tingkatan
empat bermula dan seterusnya kelas tingkatan lima pada 1981. Dengan adanya pertambahan ting-
katan, menyebabkan masa belajar yang sebelumnya hanya satu sidang terpaksa diubah kepada
dua sidang untuk menampung kekurangan kelas. Dengan adanya kelas tingkatan empat dan lima
ini, sedikit sebanyak telah dapat menyelesaikan masalah murid yang terpaksa bertukar sekolah
setelah lulus tingkatan tiga.
Tiga tahun setelah  berdiri bangunan baru pada 6 April 1982, sekolah ini dibuka dengan dirasmikan oleh YAB Datuk Harris Salleh, Ketua Menteri Sabah waktu itu. Perasmian oleh
Ketua Menteri adalah atas permintaan PIBG SMK Kiulu. Serentak dengan perasmian itu, nama
sekolah juga telah ditukar  menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens , Kiulu.
Nama rasmi ini telah berkuatkuasa penggunaannya pada 16 Jun 1982. Nama Tun Fuad Stephens
digunakan sempena mengenang jasa Allahyarham Tun Fuad Stephens, bekas Ketua Menteri Sabah
yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.11 (sebelumnya N.12) Kiulu.
Sepanjang tempoh 32 tahun usia sekolah ini, ia telah ditadbirkan oleh 12 orang pengetua.
Mereka ialah :
1. En. Awang Modzar Bin Abdul Samad                  -1968 – 1971
2. En. Jaidun Julang                                                  -1971 – 1972
3. En. Abdul Rahman Bin Abdul Samad                   -1973 –  1981
4. Puan Martha Anthony                                          -1982 –  1983
5. En. Bolkas Hasbollah                                           -1983 – 1984
6. En. Awang Tusin Osman                                      -1984 – 1985
7. En. Omar Abdul                                                   -1986
8. En. Mohd. Adenan Deraman                                -1987 – 1989
9. En. Asnan Mohd. Zain                                          -1989 – 1994
10. Puan Martha Anthony                                         -1994 – 1995
11. En. Matshah Abdul Hamit                                   -1996 – 1999
12. Haji Mat Yunus Awang                                       -1999

Walaupun SMK Tun Fuad Stephens hanya sebuah sekolah yang kecil dan terletak di
pedalaman, tetapi pencapaiannya dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum boleh dibanggakan.
Peratus kelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak awal
penubuhannya hingga ke hari ini, menunjukkan peningkatan yang membanggakan dari setahun
ke setahun. Bahkan sejak beberapa tahun  ini, peratus kelulusan Peperiksaan Menengah Rendah
(PMR, yang menggantikan SRP pada tahun 1989) dan SPM , SMK TFS adalah antara yang
terbaik di di Negeri Sabah. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sekolah ini berjaya dalam bidang kurikulum. Antaranya, kegigihan guru-guru yang berkhidmat, kesungguhan dan disiplin murid-murid, keberkesanan pentadbiran sekolah, dan kerjasama serta sokongan padu dari
masyarakat setempat (PIBG). Kecemerlangan SMK TFS dalam bidang kurikulum bukan didukung
oleh pelajar-pelajar yang datang dari keluarga mampu, tetapi sebahagian besar mereka datang dari
keluarga miskin yang serba kekurangan. Tidak sedikit jumlah bekas pelajar  SMK TFS yang telah
berjaya dal;am karier masing-masing. Antaranya ialah Encik Jahid Jahim yang pernah dilantik men-
jadi Senator, En. Wilfred Madius Tanggau kini menjawat jawatan sebagai ahli Parlimen kawasan
Tuaran dan Puan Siti Badariah yang memegang jawatan Magistret Kota-Kinabalu.
Dalam bidang Ko-kurikulum pula, SMK TFS sangat membanggakan. Sepanjang sejarahnya
selama 32 tahun, sekolah ini telah berhasil melahirkan ramai jaguh sukan yang telah mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri bahkan hingga ke peringkat kebangsaan. Antaranya En. Guanus Salagan (juara beberapakali  Perlumbaan Mendaki Gunung Kinabalu Peringkat Kebangsaan dan
Antarabangsa), En. Doroni Balantis (mewakili negeri Sabah dalam Kejohanan Bola Sepak MSSM
1993), Cik Domica Kinsiong (mewakili negeri Sabah dalam Kejohanan Hoki MSSM 1992),
Everly Ebun (mewakili negeri Sabah dalam Silat Olahraga Sukan SUKMA 1992), Jamri Salleh
(mewakili negeri Sabah dalam Kejohanan Bola Tampar MSSM 1997), Doris Sandra Ng
(mewakili  negeri Sabah ke Kejohanan Taekwando 1996-1998), Nelmon Jeoffery (mewakili
negeri Sabah  dalam Kejohanan Bola Sepak MSSM 1999, dan telah menjadi pemain Bola Sepak
Remaja Sabah).
Jauh di pedalaman dengan kemudahan yang terbatas, jumlah tenaga pengajar yang sedikit dan
murid-muridnya yang sebahagian besar berasal dari keluarga petani miskin, bukanlah suatu penghalang bagi SMK TFS untuk muncul sebagai sebuah sekolah yang kini dihormati dan disegani di negeri Sabah. Pencapaiannya dalam bidang kurikulum dan Ko-kurikulum telah diakui dan di hargai oleh berbagai pihak terutama msyarakat setempat dan Jabatan Pendidikan Sabah. Buktinya sekolah ini telah mendapat Abugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri dan Anugerah Sekolah Keceriaan Peringkat Negeri pada tahun 1998.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: